Cikgu Gunting Seluar Pelajar Terlalu Ketat, Tapi Kisah Disebaliknya Buat Mata Kami Masuk Habuk

PERINGATAN: Perkongsian ini bukan mahu memburukkan mana-mana pihak. Namun sekadar perkongsian penulisan saudara Ir Meor Shamshir untuk bacaan umum. 


GUNTING DALAM SELUAR

Su, penjual kek datang rumah petang tadi. Su tinggal di Pengkalan Chepa. Menjadi rutin Su, setiap Jumaat dia akan datang ke rumah kami menjual kek. Kalau bisness dia tak menjadi, kami akan borong kek dia dan bagi jiran-jiran merasa.

Su adalah seorang ibu yang menanggung 7 orang anak. 5 bersekolah. Yang sulung anak lelaki. Tahun depan naik Tingkatan 5. Petang tadi, dia memohon bantuan untuk membeli sepasang seluar panjang untuk anak lelaki sulungnya. 

Isteri saya tanya berkenaan anak-anaknya yang lain, sama ada nak pakaian sekolah yang baru atau tidak? Su kata, anak-anak yang lain tak kisah pakai yang lama. Lagi pun masih elok katanya. Dia hanya nak mohon bantuan untuk belikan seluar panjang untuk anak lelaki sulungnya saja.

Su cerita, seluar yang anak lelakinya pakai tu dah 2 tahun dipakainya. Ditakdirkan, bulan September lepas, cikgu buat spot check. Akibat kelihatan ketat, cikgu menggunting seluar anaknya di celah kangkang. Su kata, masa tu, duit nak makan dan wang saku sekolah pun tak cukup, apatah lagi nak belikan seluar yang baru. Masa ni, air mata Su dah mengalir.