Nahas Bas Ekspres: Semuanya Salah Kerajaan

Tags

Muar: Sikap acuh tak acuh kerajaan menguatkuasakan undang-undang menyebabkan kemalangan maut membabitkan kenderaan perdagangan tidak akan selesai sampai bila-bila.


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, kemalangan membabitkan bas ekspres sudah berlarutan sejak sekian lama.

Malangnya, katanya, ia kerap berulang berikutan kerajaan tidak serius menjalankan penguatkuasaan.

"Sikap 'hangat-hangat tahi ayam' ini perlu diubah. Jika dilihat, setiap kali kemalangan teruk kerajaan akan menjalankan siasatan, kajian dan lain-lain.

"Selepas itu, satu keputusan akan dibuat seperti penggunaan kotak hitam.

"Bagaimanapun, beberapa tahun kemudian penguatkuasaan mengenainya akan dilupakan sama seperti pemandu kedua dan lain-lain," katanya pada sidang media di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, sebentar tadi.

Terdahulu, Ayub melawat empat daripada lima mangsa kemalangan itu yang masih mendapatkan rawatan di HPSF.

Pada masa sama, Ayub menyampaikan sumbangan kerajaan negeri kepada semua mangsa.

Menurutnya, kerajaan tidak akan bertindak tegas apabila mendapat bantahan penguasaha bas atau pemandu menyebabkan langkah bagi mengelak kemalangan maut tidak dilaksanakan.

Apabila ia berlaku, katanya, rakyat berdepan masalah sama seperti sebelumnya.

Berikutan itu, katanya, dia yakin kemalangan maut membabitkan kenderaan perdagangan mengakibatkan ramai penumpang akan berulang kerana sikap acuh tidak acuh itu.

Katanya, sama juga dengan penguatkuasaan had laju 90 kilometer sejam kepada semua kenderaan perdagangan.

"Saya yakin, jika pemandu wajib memandu dalam had laju itu, mungkin kejadian ini dapat dielakkan," katanya.

Menurutnya, sumbangan diberikan menerusi Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) sekali gus membuktikan kerajaan negeri tidak memilih bangsa atau agama untuk menyampaikan bantuan. - Harian Metro / Mybuletin