Bayi Maut Terjerut Tali Puting Susu, Keadaan Mayat Sewaktu Ditemui Amat Memilukan

Tags



ALOR SETAR - Seorang bayi lelaki berusia 16 bulan maut selepas lehernya terjerut pada tali puting susu di kediamannya di Taman Sera, Padang Sera, Kodiang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa, Lai Zheng Xiang yang tidur dalam buaian elektrik di bilik utama rumah itu didakwa cuba turun sebelum terjerut pada tali itu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Hadi Hassan berkata, mangsa ditemui ibunya, Narumon Patsupah, 33, tidak lama kemudian dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam buaian elektrik yang masih bergerak.

"Ketika ditemui, mangsa didapati dalam keadaan terbaring dan kebiruan dengan tali puting diperbuat dari tali nilon menjerut leher mangsa, manakala keadaan kakinya terjuntai dari buaian.

"Semasa kejadian, difahamkan, ibu mangsa keluar mengambil salah seorang anaknya berusia enam tahun dari sekolah, manakala bapa mangsa, Lai Chin Fong, 39, berada di bengkel," katanya.

Katanya, ibu mangsa dipercayai telah keluar lebih kurang 45 minit, sebelum menemui anak lelakinya dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terus membawa ke klinik berdekatan.

Menurutnya, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia selama 20 minit akibat terjerut pada tali puting susu yang tergantung pada buaian itu ketika dibawa ke klinik itu.

Kata beliau, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) dan mangsa disahkan meninggal dunia disebabkan sesak nafas akibat terjerut.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) apabila ahli keluarga bayi malang berkenaan berkumpul.

Bagaimanapun, kebanyakan ahli keluarga mangsa tidak dapat meluahkan kata-kata kerana dipercayai terlalu sedih mengenangkan nasib bayi lelaki itu.

Dalam keadaan sedih meratapi kematian anak lelakinya, ibu mangsa, Narumon ketika ditemui berkata, dia tidak berada di tempat kejadian semasa peristiwa memilukan itu menimpa anak bongsu dari empat beradik itu.

Menurut Narumon, dia hanya perasan bahawa leher anak lelakinya sudah terjerut pada tali puting susu di buaian elektrik itu, tidak lama selepas pulang dari mengambil anak lain dari sekolah.

Katanya, mereka membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Kodiang untuk rawatan, bagaimanapun dia kemudiannya disahkan telah meninggal dunia sebelum dibawa ke HSB untuk bedah siasat.

Kredit: Sinar