Larang Kapcai Masuk KL, Anda Pasti Sokong Bila Baca Komen PDRM Ini !

Tags


PUCHONG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta kerajaan mengkaji semula cadangan untuk melarang motosikal berkuasa kecil atau ‘kapcai’ daripada memasuki ibu kota dalam usaha mengurangkan kadar pelepasan karbon dan jenayah ragut.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Rusli Ahmad berkata pihak berkuasa perlu mengambil kira faktor lain, terutamanya keperluan pengguna motosikal daripada golongan berpendapatan rendah.

“Dari segi keselamatan, kita tidak menafikan larangan itu dapat mengurangkan jenayah ragut kerana kajian terdahulu mendapati ia kebanyakannya dilakukan pengguna motosikal kapcai,” katanya.

Rusli berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Sistem Komunikasi Walkie-Talkie Rondaan Sukarela Community Policing di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun berpandangan larangan yang dicadangkan itu mungkin sesuai dilaksanakan hanya di tempat tertentu misalnya di kawasan sesak dengan orang ramai seperti di pasar malam dan di majlis keramaian kerana tempat-tempat itu boleh memberi peluang kepada penjenayah ragut yang menunggang kapcai.

“Pihak berkuasa mungkin boleh melarang motosikal kapcai ini daripada memasuki kawasan orang ramai pada waktu tertentu sahaja dan bukannya melarang kemasukkan motosikal itu di pusat bandar,” kata Rusli.

Terdahulu, Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia menerima 100 unit walkie talkie, 20 motosikal rondaan dan tiga ambulans bagi tujuan operasi cegah jenayah di beberapa lokasi di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.

Yang turut hadir ialah Presiden Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia Kuan Chee Heng dan Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Mohammad Azlin Sadari.

Kuan berkata pihaknya akan menyediakan perkhidmatan ambulans kepada golongan miskin dengan bayaran sebanyak 10 sen sahaja bagi bantuan kecemasan untuk mengurangkan beban kos sara hidup golongan terbabit.

Katanya walkie talkie yang diterima daripada sumbangan perseorangan itu akan digunakan untuk pasukan rondaan sukarela Community Policing berkomunikasi ketika rondaan cegah jenayah secara berkala di kawasan perumahan sekitar pusat operasi polis masyarakat itu.

Media tempatan semalam memetik Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai berkata pihak berkuasa mungkin akan melarang motosikal kapcai daripada memasuki pusat bandar Kuala Lumpur sebagai langkah mengurangkan kadar pelepasan karbon selain bagi menangani jenayah ragut.

Pelaksanaan cadangan itu dipertimbangkan jika pengangkutan awam dapat menyediakan tambang yang berpatutan kepada para penumpangnya, menteri itu dilaporkan berkata. – BERNAMA

Kredit; Mynewshub