Nik Abduh Tegur D’Herbs Buat Iklan Menjolok Mata, Anda Pasti Sokong Bila Baca Ni !

Tags



KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menegur usahawan produk kecantikan dan kesihatan ternama, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman kerana menyiarkan iklan D’Herbs yang menjolok mata di akhbar Sinar Harian hari ini.

Ketua DPPM, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz membuat teguran itu atas tanggungjawab sebagai seorang muslim supaya saudara seagamanya mentaati setiap perintah Allah S.W.T ke atas makhluknya.

Menurut beliau, iklan yang mendedahkan aurat wanita seperti disiarkan dalam akhbar Sinar Harian itu adalah perilaku jahiliyah dan dilarang oleh agama.

“Hari ini saya melihat satu iklan di akhbar Sinar Harian oleh syarikat D’Herbs untuk salah satu produk kecantikannya. Namun, atas tanggungjawab sebagai seorang muslim, saya menasihati dan menegur Aliff Syukri agar menapis iklan syarikat perniagaan beliau agar lebih mematuhi syariat agama.

“Wanita adalah amanah Allah S.W.T ke atas para lelaki. Kita semua sayugia menjaga mereka daripada segala kejahatan dunia dan akhirat. Jangan biarkan mereka terlalai tanpa nasihat agama apatah lagi secara sengaja mendorong atau merangsang mereka melakukan kesalahan agama,” katanya di laman Facebook beliau hari ini.

Tinjauan Mynewshub ke atas akhbar Sinar Harian hari ini mendapati terdapat satu iklan produk D’Herbs di dada akhbar itu mempamerkan seorang wanita menayangkan paha dan kakinya dengan tajuk “Bersih, Gebu dan Licin Dengan Sepantas Kilat”.

Nik Mohamad Abduh berkata, Allah S.W.T mengutuk sekeras-kerasnya mereka yang mempergunakan wanita secara salah untuk tujuan mencari rezeki.

Malah, kata beliau, Allah S.W.T tidak akan memberkati rezeki itu walaupun ia melimpah ruah sehingga di alam akhirat.

“Maka nasihat saya untuk diri saya, Aliff Syukri, para peniaga dan pengiklan agar bertaqwa kepada Allah dan mentaati-NYA. Taqwa adalah pintu kekayaan yang takkan kering dan putus,” katanya. – Kredit: MYNEWSHUB.CC