Tempahan Honda BR-V Melebihi Sasaran, Bukti Ekonomi Rakyat Malaysia Sangat Baik

Tags

KUALA LUMPUR: Honda BR-V, kenderaan crossover terbaru Honda Malaysia, menerima lebih 4,000 tempahan dalam tempoh tiga minggu sejak pelancarannya, sekali gus mengatasi sasaran awal jualan sebanyak 800 unit sebulan. 


Jumlah tempahan itu bersamaan dengan sasaran jualan untuk tempoh lima bulan bagi model terbaru Honda Malaysia itu. 

Syarikat itu menerusi kenyataan hari ini, menyatakan daripada jumlah itu, 83 peratus adalah bagi varian BR-V manakala bakinya sebanyak 17 peratus untuk varian E. 

Honda Malaysia menegaskan, walaupun jumlah tempahan melebihi sasaran, tempoh penghantaran kenderaan kepada pelanggan masih kekal antara satu hingga dua bulan. 

"Ini disebabkan syarikat masih menyesuaikan tempoh penghantaran dengan jadual pembuatan di kilang," tambah kenyataan itu. 

Berdasarkan tempahan setakat ini, Honda Malaysia yakin model terbaru BR-V mampu menarik minat pengguna di kawasan bandar dan sub bandar. Katanya, ini berikutan ciri praktikal dan harga yang berpatutan bagi kenderaan berkenaan. 

Statistik tempahan juga menunjukkan tempahan banyak diterima daripada pelanggan yang pertama kali memiliki kenderaan Honda. 

Antara kelebihan ditawarkan Honda BR-V, termasuk padat dengan ciri praktikal dan nilai tambahan sesuai untuk kegunaan keluarga. Ia juga memiliki tarikan dari segi penampilannya. 

Penampilan luaran SUV itu memberikan tanggapan kenderaan yang lasak dan aktif, manakala reka bentuk muka depan bersayap memberikan unjuran yang anggun. 

Untuk penampilan tampak agresif seakan kenderaan SUV, model ini dilengkapi satu set roda aloi tona berkembar 16 inci, rel bumbung dan lampu pencahayaan siang (DRL) serta kamera undur. 

Honda BR-V serba baharu ini dikenali dengan beberapa rekod seperti ruang barang terbesar (223 liter dengan semua kerusi dilipat, 539 liter dengan tempat duduk barisan ketiga dilipat), output enjin tertinggi (120PS) dan kelegaan tanah tertinggi (201mm). 

Info mengenai Honda BR-V:
  • 4,000 tempahan dalam masa 3 minggu 
  • 800 unit sasaran awal sebulan 
  • RM85,800 harga atas jalan termasuk insuran Varian E 
  • RM92,800 harga atas jalan termasuk insuran Varian V