Jika Bagi BR1M Penuh Rakyat Mungkin Beli Iphone, Sebab Tu Bagi Berperingkat - Ahmad Maslan



SAMBIL menayangkan iPhone 6 barunya kepada kakitangan awam, Datuk Ahmad Maslan menerangkan pemberian tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dibayar secara ansuran supaya ia tidak disalahgunakan untuk membeli barangan mewah seperti itu.

BR1M dinaikkan dari RM450 ke RM750 dan dari RM650 ke RM950 bagi isi rumah berpendapatan rendah dalam kategori berbeza mulai tahun depan, dan akan diberi secara ansuran, dan bukan sekaligus seperti sebelum ini.

"Kalau diberi sekaligus RM950, dan bukannya tiga kali ansuran pada Januari, Mei dan September, mungkin kita boleh lihat rakyat mula membeli telefon bimbit baru seperti iPhone 6," katanya.

Sambil berkata demikian, Timbalan Menteri Kewangan itu dengan bangga menunjukkan iPhone 6 baru miliknya yang katanya dibelikan oleh anaknya di London selepas menamatkan pengajian baru-baru ini.

Ahmad ketika itu sedang berucap kepada kira-kira 200 kakitangan kanan Lembaga Hasil Dalam Negeri di Cyberjaya.

Beliau kemudiannya mengulang kenyataannya sebelum ini bahawa bayaran BR1M cukup untuk menampung tiga bulan perbelanjaan isi rumah rakyat yang layak menerimanya.

Isi rumah yang berpendapatan kurang RM3,000 layak menerima BR1M sebanyak RM950, sementara mereka yang berpendapatan antara RM3,000 dan RM4,000 akan menerima RM750.

Individu bujang berumur 21 tahun ke atas dan berpendapatan tidak melebihi RM2,000 akan menerima BR1M sebanyak RM350 yang akan dibuat dalam satu bayaran.

Ahmad berkata BR1M akan membantu lebih 7 juta rakyat Malaysia tahun depan, walaupun pembangkang mengatakan Bajet 2015 tidak cukup berorientasikan rakyat.

"Di mana lagi di dunia ini ada sebuah kerajaan seperti pentadbiran Barisan Nasional di Putrajaya yang menjaga rakyatnya?" soalnya.

Ahmad juga mempertahankan bonus setengah bulan gaji kepada kakitangan awam yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2015, mengatakan ia akan mempunyai kesan sampingan kepada perniagaan masyarakat Cina dan India kerana ia akan meninggikan sedikit kuasa membeli penjawat awam.

"Terdapat 1.52 juta penjawat awam di Malaysia, tetapi kalau termasuk suami atau isteri dan anak-anak mereka, angka itu menjadi antara 7 dan 8 juta."

"Sebab itu Putrajaya memutuskan memberi kakitangan awam bonus setengah bulan gaji, kerana ramai yang bergantung kepada gaji sektor awam," kata Ahmad.

Sumber- Malaysian Insider
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/br1m-bukan-untuk-bermewah-kata-ahmad-maslan-sambil-tayang-iphone-6-baru

Disclaimer:
Artikel dari Malaysian Digest, bertarikh 14 October 2014