Mengaku Bersalah Tumbuk Pemandu Van Sekolah Hingga Mati, Lihat Hukuman Dikenakan Hakim !

Tags


Seorang lelaki bersujud di kaki ibunya sambil memohon kemaafan selepas dia dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun kerana menyebabkan kematian seorang pemandu van sekolah, tahun lepas.

Bekas operator kren Mohd Fifi Md Yousoff, 31, turut menangis teresak-esak ketika memeluk erat isterinya, anggota keluarga serta rakan-rakannya yang hadir di mahkamah.

Terdahulu, Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman penjara itu berkuat kuasa pada Selasa selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan menyebabkan kematian Mohammad Izhharuddin Nordin, 24, di Jalan Sungai Udang di sini kira-kira 6.40 petang pada 3 Feb tahun lepas.

Kes yang pernah viral di media sosial itu mendapat perhatian netizen. sebelum kejadian itu, tertuduh didatangi anak saudaranya yang berusia 11 tahun yang mengadu bahawa van telah meninggalkannya di sekolah agama dan dia terpaksa berjalan kaki pulang ke rumah.
Dalam perjalanan tertuduh menghantar anak saudaranya pulang ke rumah ibunya dengan menaiki motosikal, anak saudara tertuduh ternampak van berkenaan dan menunjukkan kepadanya menyebabkan tertuduh mengejar dan memintas kenderaan itu supaya berhenti di tepi jalan.

Tertuduh kemudian pergi ke bahagian pemandu van lalu mempersoal tindakan Mohammad Izhharuddin meninggalkan anak saudaranya di sekolah agama.

Tertuduh kemudian menumbuk mangsa beberapa kali di bahagian sisi muka serta kepala sebelah kanannya sebelum kembali kepada anak saudaranya yang berada di motosikal.

Sebelum beredar, tertuduh pergi semula ke arah Mohammad Izhharuddin lalu menghulurkan tangannya ke dalam van itu.

Selepas tertuduh beredar, saksi yang berada berhampiran datang melihat keadaan Mohammad Izhharuddin dan mendapati dia dalam keadaan menggigil serta tidak boleh bercakap.

Saksi itu kemudian menghubungi polis dan hasil pemeriksaan pihak ambulans yang tiba kemudian mendapati mangsa telah meninggal dunia.

Hasil bedah siasat, pakar patologi mengesahkan bahawa terdapat lebam dan bengkak di bahagian rahang kanan serta telinga kanan mangsa selain kecederaan dalaman iaitu lebam pada pangkal otot leher sebelah kanan dan terdapat pendarahan 'subarachnoid' pada keseluruhan otak.

Kredit