Sayu, Lelaki Maut Dibelasah Curi Kasut Bundle RM200.. Lagi Sedih Bila Tahu Suspek Pembunuhan

Tags

Lokasi mangsa ditemui. Foto ihsan polis

Tampin: Seorang lelaki maut dipercayai akibat dipukul abangnya dan tiga pekerja kedai pakaian terpakai (bundle) di Batu 1 Jalan Tampin-Seremban, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak berkata, lelaki berusia 27 tahun terbabit dituduh mencuri sepasang kasut dari kedai berkenaan, kira-kira jam 2 pagi.

Menurutnya, mangsa masuk ke kedai bundle bersama seorang wanita dan seorang pekerja melihat mangsa memakai sepasang kasut sukan berharga RM200.

"Mangsa ditangkap sebelum dipukul oleh tiga pekerja kedai itu. Selepas kejadian, abang mangsa menemui adiknya tidak sedarkan diri di tepi jalan dan membawanya ke Hospital Tampin tetapi disahkan meninggal dunia, jam 4.45 pagi.

"Abang mangsa membuat laporan mendakwa adiknya dipukul tiga pekerja kedai bundle berkenaan. Namun, siasatan mendapati dia turut memukul mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berikutan itu, katanya, polis menahan keempat-empat suspek terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.